Wednesday, June 01, 2011

Hati Seorang Adik


Setelah sekian lama, akhirnya hamba berjaya meneguhkan diri untuk update blog ni. Bukan apa, hamba agak malas untuk update. Lagipun, hamba mengalami gangguan conection internet sejak akhir-akhir ini. Kali ni hamba hendak berkongsi sedikit tentang perjalanan hidup hamba.

Hamba merupakan anak terakhir dalam 10 adik-beradik. Memang jika sebut sahaja anak bongsu, orang akan terbayang anak bongsu ni selalu dimanjakan, mengada-ngada dan macam-macam lagi. Bagi hamba, anak bongsu ni perit hidupnya. Kenapa? Begini cerita hamba.

Semasa hamba kecil, hamba sering sahaja dipinggirkan oleh adik beradik hamba. Mungkin kerana mereka masih terkenang akan arwah abang yang meninggal sebelum kelahiran hamba. Setiap kali hari raya, atau majlis-majlis bersama keluarga, hamba akan dibiarkan seorang diri. Walaupun hamba cuba untuk menyertai mereka, tapi mereka tetap akan mengenetepikan hamba. Memanglah pedih bila terpaksa mengharungi dugaan seperti ini sejak dari kecil. Tapi hamba tetap berusaha untuk mendapat tempat hamba dalam keluarga. Menyedari hal ini, ibu hamba selalu berada disamping hamba agar hamba tidak merasa keseorangan. Terima kasih ibu.

17 tahun hamba hidup keseorangan, akhirnya hamba mula mendapat perhatian adik beradik setelah berjaya mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Jika dulu ada dalam kalangan mereka yang tidak mengaku hamba ini adik mereka (sebab cemburu hamba mendapat perhatian lebih dari ibu), kini mereka mula menjemput hamba ke rumah mereka. Hamba bukanlah seorang pendendam. Hamba hanya berpura-pura tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada hamba dulu.

Hamba sangka semuanya semakin beransur pulih, tapi malangnya masih ada kakak hamba yang rupanya selama ini menimpan perasaan cemburu terhadap hamba. Hamba kembali dilema. Apa perasaan anda bila di rumah, anda tidak dapat memberi kasih sayang yang cukup kepada ibu anda kerana hendak menjaga hati adik beradik anda?Kali ini, jika semua adik beradik berkumpul, hamba pula yang melarikan diri. Bukan apa, hamba hanya mahu mereka mendapat perhatian dari ibu. Hamba akan bersikap dingin terhadap semua orang agar mereka menjauhkan diri dari hamba. Biarlah hamba terpinggir demi memastikan mereka dapat apa yang mereka mahukan.